Rabu, Januari 9

~KENALI DIRIMU~


Petama-tama sekali, kenali diri yang ni bukan macam yang terdapat dalam majalah-majalah yang anda pernah baca seperti majalah remaja, maskulin, wanita, dan sebagainya apatah lagi majalah-majalah lawak yang sewaktu dengan ujang, blues, gempak, serta utopia, malah jauh-sejauhnya dengan komik atau manga yang terdapat di pasaran.

Kenali diri juga bukanlah sekadar bermaksud kenal nama sendiri, tarikh lahir, hobi, cita-cita, dan sebagainya yang selalu kita isi dalam borang-borang. Bukan jua setakat hanya mengetahui kita anak siapa, status apa, umur berapa, pilihan hati macam mana, atau profil-profil yang lain. Kenali diri ini lebih ditekankan kepada mengenali sisi rohani kita, tapi bukannya siaran sebalik malam kat tv3 tu- merungkai sisi gelap mu. Renungkan realiti yang kita lalui sehari-hari. Kadang-kadang begitu senang kita memilih makanan, pakaian, atau apa pun keperluan hidup kita yang lain. Kelihatan kita begitu arif tentang apa yang diri kita mahukan. Tetapi, jauh dari sudut yang lain, mungkin kita sebenarnya hanya mengenali sebahagian kecil sahaja daripada diri kita atau lebih teruk lagi kita langsung tidak memahami tentang diri kita sendiri. Dengan erti kata lain, kita masih tidak mengenali siapa diri kita.

Terus kepada point, yang paling penting sekali dalam proses mengenali diri kita adalah dengan mengenali siapa pencipta kita dan siapa yang paling dekat dengan kita. Sudah tentulah Allah yang Maha Kuasa. Cuba kita lihat, orang yang hilang ingatan- lupa siapakah dirinya- dia tidak akan mendapat jawapan dengan bertanya dirinya sendiri dan pastinya dia akan bertanya kepada orang lain untuk dia kenal diri dia semula. Tetapi, kita sebagai manusia yang normal, hanya kepada Allah lah tempat kita mengadu kerana Dialah yang Maha Mengetahui atau dalam bahasa aliennya- He knows best. Dengan itu kita perlu kenal Dia dahulu dalam proses kita mengenali diri kita.

Jangan sempitkan fikiran kita dengan menganggap mengenali Allah itu cukup sekadar menghafal nama-namaNya- asma’ul husna, atau cukup dengan mengetahui sifat-sifatNya- sifat yang wajib, mustahil, dan harus. Itu budak sekolah pun tahu. Tetapi, kenal Allah itu meliputi pelbagai aspek yang amat luas. Daripada keimanan akan kewujudanNya hinggalah kepada tuntutan-tuntutan suruhan dan larangan yang telah disyariatkanNya, dan memahami segala perkara yang berkaitan.

Di salah satu stesen-stesen aspek itu kita akan bertemu sebab yang tersurat dan tersirat mengapa kita dilahirkan ke muka bumi ini. Firman Allah bermaksud:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan

supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Lihat, Allah menciptakan kita manusia untuk beribadat tunduk

dan patuh kepadaNya. Tetapi, Allah menciptakan jin pun untuk

tujuan itu juga. Apa bezanya? Samakah kita dengan jin? Atau

memang kita ni jin, bukan manusia? Selami lagi firman Allah:

Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia

dalam bentuk yang sebaik-baiknya . (at-Tiin:4)

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah

di muka bumi… (al-Baqarah:30)

Nampak? Kedua-dua ayat al-Quran di atas menjelaskan lebih lanjut tentang siapa diri kita. Sesungguhnya kita adalah makhluk ciptaan Allah yang paling baik, paling sempurna, yang memegang tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Itulah sebenarnya diri kita, tetapi kita sering alpa dan lalai, hanyut dengan arus duniawi. Sedarlah, khalifah muka bumi tiada yang lain, bukannya tumbuhan, haiwan, atau makhluk-makhluk lain yang daripada lahirnya hingga ke saat matinya sama sahaja. Khalifah itu adalah kita manusia, yang seharusnya sentiasa bersedia dan bertanggungjawab dengan jawatan agung yang diberikan itu. Kita tidak sepatut malah tidak boleh lari daripadanya kerana seandai kita berbuat sedemikian, kita tidak ubah seperti pokok-pokok atau haiwan-haiwan yang tidak dianugerahkan akal fikiran. Kerana akal fikiran itulah alat bantu khalifah yang akan digunakan berpandukan syariat Allah.

Akhirnya, kita dah kenal siapa diri kita yang sebenar. Maka, segala perlakuan dan tingkah kita selepas ini seharusnya melambangkan kita sebagai diri kita yang sepatutnya itu, bukannya kekal sebagai diri sebenar kita yang penuh kejahilan.

Tidak ada komentar: